KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama 9 syarikat tempatan untuk mengukuh, mempromosi dan membentuk hubungan yang utuh di bawah Program Usaha Sama Vendor.

Program tersebut mampu memupuk sinergi untuk jangka masa panjang dan menggalakkan kerjasama antara UEM Sunrise dan syarikat yang terlibat dalam bidang pemasaran, penjenamaan dan pembangunan produk.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, program tersebut memberi peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi mereka dalam jangka masa panjang sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko dalam kenaikan harga dan ketidaktentuan permintaan dan penawaran.

Katanya, UEM Sunrise akan terus memantau dan memperhalusi rancangan penetapan harganya berdasarkan beberapa elemen kos utama selain daripada harga bahan binaan, di samping ketidaktentuan pasaran

"Kami juga berharap agar dapat menambahbaik pengurusan kos dan memberi harga terbaik untuk pelanggan kami.

"Pada masa sama, syarikat berharap bahawa program usaha sama jangka panjang bersama vendor ini boleh menjadi penyelesaian dalam menangani peningkatan kos dalam pasaran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Syarikat terbabit termasuklah Guocera Sdn. Bhd., salah satu pengeluar dan pengeksport jubin terbesar di Malaysia; Bofi (Malaysia) Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang menggabungkan pertukangan kayu dengan dapur mewah, kabinet bilk air dan almari pakaian dan Innocera Marketing Sdn. Bhd., syarikat perdagangan yang mempunyai pengkhususan dalam kelengkapan kebersihan.

Selain itu, Electrolux Malaysia Sdn. Bhd., syarikat terkemuka dalam peruncitan dan servis peralatan rumah; Cement Industries of Malaysia Bhd. (CIMA) salah satu syarikat pembekal bahan pembinaan terbesar di Malaysia yang menyediakan penyelesaian simen dan konkrit yang inovatif dan mampan serta Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., syarikat global untuk pengguna elektrik dan elektronik serta penyelesaian perniagaan turut terlibat di bawah program tersebut.

Turut terbabit, Signature Cabinet Sdn. Bhd., syarikat yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk, pemasaran dan pengedaran sistem dapur, sistem almari pakaian dan peralatan dapur dalaman; Aurum Precast Sdn. Bhd., syarikat mengkhusus dalam produk konkrit pratuang untuk kegunaan projek awam dan projek bangunan dan Gamuda IBS Sdn. Bhd., pembekal penyelesaian IBS digital yang merupakan perintis dalam pengadaptasian IBS digital di Malaysia dengan kemudahan IBS digital pertama di negara. - DagangNews.com